The Chronicle of Loneheart

T h e   F a l l e n    D r e a m e r    |    A w a k e n    t h e    R e a l i t y

Wednesday, 22 June 2005

Masjid Al-Azim - Mercu Tanda Melaka



Masjid Negeri Al-Azim bukan sahaja mempunyai seni bina unik, malah menjadi mercu tanda Melaka sebagai pusat pengembangan Islam sejak zaman Kesultanan Melayu. Keindahannya terletak pada tapak berbentuk segi empat dan disesuaikan dengan bumbung tiga tingkat. Sekali imbas, ia tidak ubah seperti sebuah pagoda.

"Rekaan masjid dengan tapak dan bumbungnya yang bertingkat sebenarnya memenuhi hakikat Islam itu sendiri yang terdiri daripada empat unsur utama," jelas Imam Besar Masjid Negeri Al-Azim, Mohammad Hashim.

Menurut beliau, tapak tersebut melambangkan syariat, iaitu perundangan Islam dan tingkat pertama pula membawa maksud tariqat yakni jalan mendekati Allah. Manakala tingkat kedua pula ialah haqiqat iaitu mencari kebenaran Allah dan tingkat ketiga melambangkan makrifat yakni mengenal Allah.

Puncaknya yang berukir-ukir pula digantikan dengan dom. Pembinaan masjid di Melaka bermula pada kurun ke-15 dan abad sebelumnya hinggalah abad ke-18. Ia mengambil reka bentuk istana dan rumah-rumah pembesar kerajaan Melayu atau rumah orang-orang kenamaan yang dibina daripada kayu dan bumbung mengadap ke arah kiblat.

Bagaimanapun terdapat beberapa masjid telah dibina semula dengan bangunan batu pada abad ke-18 seperti Masjid Peringgit, Kampung Hulu dan Tengkera. Ia menjadi contoh kepada pembinaan masjid yang seterusnya di Melaka. Rekaan yang sama juga terdapat di Kelantan dan Masjid Demak di Tanah Jawa. Keindahan Masjid Negeri Al-Azim juga terletak pada seni ukiran sulur bayung di setiap hujung tulang bumbung bangunannya.

"Sulur bayung ini diilhamkan daripada sejenis tumbuhan liar di tepi sungai yang menggambarkan genggaman tangan semasa bertahiyat," ujar beliau merujuk kepada salah satu ciri keistimewaan ukiran Melayu berunsurkan Islam.

Tambah Mohammad, tiga tingkat atap berwarna hijau tua yang menuju ke arah sebuah dom berwarna kuning di bahagian puncaknya, menjelaskan tentang sesuatu permohonan hamba yang mengharapkan penerimaannya oleh Allah s.w.t. Menaranya setinggi 57.3m pula dibina berbentuk segi lima yang bertunjangkan kepada rukun Islam. Susur galur sejarah membuktikan, kewujudan Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15 telah memberi impak kepada penyebaran dan perkembangan agama Islam di rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia, sebahagian negara Indonesia dan selatan Filipina.

Sebelum kedatangan Parameswara, dipercayai penduduk Melaka telah menganut agama Islam sejak tahun 1306 Masihi. Bagaimanapun, penduduk-penduduk di Melaka masih menerima Islam hingga abad ke-15 (1413 Masihi). Parameswara juga dengan rela hati memeluk agama Islam diikuti oleh pembesar istana dan rakyat jelata.

Pengislaman sultan dan rakyat Melaka itu adalah menerusi Sayed Abdul Aziz yang berasal dari tanah Arab dan mendarat di pantai Melaka ketika waktu Asar. Parameswara menukar namanya kepada Sultan Muhammad Shah. Dengan wujudnya kerajaan yang beragama Islam, bangunan-bangunan masjid dijadikan tempat beribadat dan perhimpunan sosial di kala berlakunya malapetaka yang boleh menjejaskan kerajaan dan negeri pada ketika itu.

"Secara tidak langsung, jika kita lihat pada hari ini, masjid memainkan peranan yang cukup penting kepada masyarakat. Di sinilah pelbagai aktiviti keagamaan dan kebajikan dijalankan," katanya merujuk kepada perkembangan Melaka sebagai pusat perdagangan dan penyebaran Islam yang masyhur sebelum dijajah Portugis.

Jelas beliau, simboliknya pembinaan Masjid Negeri Al-Azim adalah untuk meneruskan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dalam menegakkan syiar Islam.

"Masjid ini mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan bermula pada 14 Mac 1984 dan mula digunakan pada 12 Januari 1990," ujarnya.

Projek pembinaan yang menelan belanja sebanyak RM19.5 juta itu dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong Sultan Azlan Shah pada 13 Julai 1990 Masihi bersamaan 20 Zulhijjah 1410 Hijrah. Masjid yang terletak di atas tapak seluas 25 ekar (10.15 hektar) dimulakan dengan pembinaan fasa pertama yang terdiri dari dewan sembahyang utama, mezzenine, bilik mesyuarat dan bilik imam, bilik VIP, bilik wuduk dan bilik air, bilik persalinan pakaian, rumah pegawai masjid, tempat letak kenderaan dan landskap taman. Luas keseluruhan bangunan ini kira-kira 6,741 meter persegi termasuk tiga buah anjung yang mengandungi pintu masuk dan sebuah menara.

Fasa kedua pula mengandungi dewan kuliah/bilik syarahan, balai pameran Islam, auditorium, kafeteria, bilik santapan diraja dan perpustakaan. Dewan sembahyang utamanya meliputi seluas 5,351 meter persegi di tingkat bawah boleh menampung seramai 9,700 jemaah. Bagi mengukuhkan binaan bumbungnya, sebanyak tiga batang tiang besar dibina bagi setiap empat penjuru masjid. Ruang mezzanine di tingkat atas pula mempunyai keluasan 383.21 meter persegi yang dikhaskan untuk 700 jemaah wanita. Ia dikelilingi pagar besi berukir dengan unsur Islamik yang cantik.

Melewati ruang solatnya, kelihatan sebuah mihrab yang dibina daripada batu marmar import dan dihiasi dengan kepingan logam berukir. Ia terletak berhadapan dengan dewan sembahyang utama yang menandakan arah kiblat mengarah ke Baitullah, Mekah dan berfungsi sebagai tempat imam memimpin sembahyang Jumaat.

Bersebelahan kanannya terdapat sebuah mimbar iaitu ruang khatib membaca khutbah Jumaat setinggi 4.57 meter dengan kelegaan seluas 1.37 meter per segi yang dihias cantik dan mempunyai nilai seni ukir yang tinggi diperbuat daripada kayu cengal terbaik. Menurut Mohammad, satu lagi keunikan masjid ini terletak pada ukiran tulisan khat ayat-ayat al-Quran yang bersesuaian dengan konsep dan falsafah pembinaan Masjid Negeri Al-Azim.

"Jika kita lihat di bahagian atas ruang dalaman diukir dengan ayat 35-39 surah An-Nur, manakala ayat Kursi (255-258) diukir pada bahagian bawahnya. Selain itu, mihrab ini juga dihiasi dengan ayat 144 surah Ali Imran. Bagi mengimarahkan masjid dengan nilai-nilai keislaman, ketiga-tiga pintu besar juga diukir dengan potongan ayat al-Quran," jelas beliau.

Sepanjang perjalanan dari Tanjung Bidara menuju Bukit Pala, boleh dikatakan hampir kebanyakan masjid dan surau mempunyai reka bentuk yang serupa, seperti mana keunikan rumah tradisional Melaka yang terletak pada binaan tangganya. Begitulah istimewanya sebuah negeri yang kecil tetapi kaya khazanah seni dan warisan Melayunya.

1 komen:

waaa... shoutbox tu dah rosak ke? dah penat shout... tapi error message yang keluar. nak kene tukar shoutbox baru nampaknye.